Memang saya sendiri pun sedih bila Ust Harun Taib meninggal dunia. Walaupun arwah orang PAS, saya sedih juga sebab arwah tu orang Islam, saudara seagama saya. Bersaudara dalam Islam ni tiada sempadan, walaupun berbeza ideologi politik...
Bila Ust Harun Taib dah meninggal dunia, Ust Harun Din pula uzur kat IJN...saya dok fikir, siapa lagi yang akan pertahankan Islam dalam PAS? Siapa lagi yang kita boleh harap pertahankan Islam dalam parti yang sedang diasak puak macam Mat Sabu, Khalid Samad dan Khalid Jaafar?
Sebelum ni Ust Harun Taib dan Ust Harun Din la yang paling kuat mempertahan penggunaan kalimah "Allah" dari dicemari non-muslim. Depa la yang perjuang Negara Islam dan Hudud yang dah "dimansuhkan" PAS....
Tapi hari ni kedua-dua Harun ni dah makin "lemah". Seorang dah meninggal dan seorang lagi uzur. Siapa pengganti kedua tokoh ulama ni?
Apakah pengganti tu akan meneruskan perjuangan Islam di dalam PAS?
Apakah pengganti tu akan pertahankan Islam dari diasak puak liberal dalam PAS?
Kita tengok la nanti... apakah PAS akan makin punah, atau berubah kembali pada Islam....?
"Teruskan perjuangan Islam. Insya-Allah... teguh dan tabahlah juga menghadapi sebarang dugaan."
Teruskan perjuangan Islam -Arwah
Itu pesanan terakhir yang sempat dikongsikan anak kepada Allahyarham Datuk Harun Taib, Hilmi, 37, sebelum Ketua Dewan Ulama Pas itu menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini awal pagi tadi.
Harun, 71, meninggal dunia akibat jangkitan kuman sehingga menyebabkan pelbagai organ dalamannya gagal berfungsi selepas menderita akibat penyakit kencing manis dan angin ahmar.
Hilmi yang mengambil alih kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir daripada bapanya dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu berkata, beliau sekeluarga reda dengan pemergian bapa mereka dan berharap semoga semua pihak mendoakan Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.
"Bagi saya, pemergian arwah adalah pemergian seorang pejuang Islam dan saya mewakili adik-beradiknya bertuah dipilih menjadi anak-anak beliau di dunia ini," katanya ketika ditemui selepas majlis pengebumian Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Alor Lerang, Manir di sini hari ini.
Menurut anak sulung daripada lima beradik itu, arwah bapanya mula menderita akibat angin ahmar sejak tahun 2010 dan akhir-akhir ini, katanya, penyakit kencing manis yang dihadapinya pula semakin menular sehingga menyebabkan luka kesan penyakit itu mula merebak.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pula berkata, pemergian Harun di saat Pas dan ummah masih memerlukan bimbingan dan ilmu daripada Allahyarham.
"Almarhum sudah tidak bersama kita, tetapi peninggalan ilmu amat berbekas di hati para ahli Pas serta pendukungnya yang tidak jemu mendidik dan berjuang walaupun beliau keuzuran di akhir hayat beliau," kata Abdul Hadi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang turut menziarah pagi ini menyifatkan Allahyarham banyak memberi sumbangan kepada negeri dan negara termasuk melahirkan pelajar dalam bidang agama melalui pusat pengajian yang diasaskannya.
"Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri mengarahkan saya mewakili kerajaan dan Majlis Tertinggi parti untuk hadir dan perbezaan politik tidak memisahkan persaudaraan kita," katanya.
Selain itu yang datang menziarah ialah Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Mohd. Zubir Embong yang turut meluangkan masa menziarah Allahyarham memberitahu, pemergian Harun umpama kehilangan sebutir permata buat negeri.
Beliau yang mewakili kerajaan negeri berkata, walaupun berada di platform politik yang berbeza, secara peribadinya, beliau mengagumi ketegasan yang dimiliki pemimpin Pas itu dan menghormatinya.
"Walaupun tidak sempat berada sekali dalam Dewan (ketika Sidang DUN), saya tengok Allahyarham ini dalam ketegasan ada jenakanya yang menghiburkan kita. Yang pastinya, beliau seorang yang tegas dalam melaksanakan perkara yang sepatutnya iaitu 'haq' (benar) dan menghalang kebatilan," katanya.
Sementara itu, ADUN Wakaf Mempelam, Abdul Wahid Endut yang juga bekas Pesuruhjaya Pas negeri turut merakamkan ucapan takziah di atas pemergian pemimpin Pas yang berkaliber itu.
"Saya mewakili kepimpinan Pas negeri merasakan bahawa pemergian Allahyarham ini merupakan satu kehilangan yang cukup besar buat parti," kata beliau. - Utusan