Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyelar bekas aktivis politik dan pemikir kontroversi, Kassim Ahmad kerana membuat kenyataan yang dianggap boleh menggugat akidah umat Islam dan ketenteraman awam.
Sehubungan itu Jakim menggesa umat Islam negara ini supaya menjauhi aliran pemikiran dan doktrin-doktrin yang disebarkan oleh Kassim yang salah dan bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha berkata, Kassim antaranya mempertikaikan dua kalimah syahadah dengan menganggap syahadah yang kedua sebagai mendewa-dewakan Nabi Muhammad S.A.W.
Kassim turut mempertikaikan rambut sebagai aurat wanita dan memperlekeh wanita yang berhijab dan mempertikaikan kredibiliti ulama dan menyamakan ulama sebagai kasta paderi.
Beliau turut mempertikaikan hadis sebagai sumber hukum dan menuduh Imam Shafie yang memulakan doktrin baharu dengan menyatakan hadith sebagai satu sumber hukum sama seperti al-Qur’an.
“Kassim mentafsirkan semula al-Qur’an berdasarkan logik semata-mata dan menolak tafsiran ulama terdahulu dan mengiktiraf Kod 19 oleh Rashad Khalifa sebagai pentafsir al-Qur’an bagi menggantikan hadith,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu Jakim mengeluarkan jawapan kepada semua hujah Kassim tersebut seperti berikut:
Mengucap Dua kalimah Syahadah merupakan rukun Islam yang pertama bagi setiap muslim yang mengaku dirinya sebagai orang Islam. Mempertikaikan syahadah boleh menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada agama Islam. Justeru, orang yang berbuat demikian wajib segera bertaubat.
Ulama telah bersepakat bahawa aurat wanita adalah keseluruhan badannya kecuali muka dan kedua tapak tangannya. Mempertikaikan hukum yang telah disepakati boleh membawa kepada kesesatan.
Ulama adalah pewaris Nabi yang berperanan menyampaikan ajaran Islam dari satu generasi ke satu generasi. Mempertikaikan kredibiliti ulama muktabar dalam mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah suatu yang bercanggah dengan disiplin ilmu yang diwarisi daripada sahabat dan salafus salih.
Hadis adalah sumber kedua perundangan Islam dan sebagai pentafsir kepada al-Qur’an berdasarkan ijma ulama. Penafsiran semula al-Qur’an berdasarkan logik akal tidak boleh diterima kerana pentafsiran al-Quran memerlukan disiplin ilmu agama yang telah ditetapkan dalam ajaran Islam.
Teori “Kod 19” oleh Rashad Khalifa yang dipegang oleh Kassim Ahmad mengandungi pelbagai penyelewengan akidah dan tidak wajar digunakan untuk mentafsirkan al-Qur’an.
Oleh itu, Othman berkata, sebarang tindakan untuk menarik semula pengharaman buku tulisan Kassim adalah tidak wajar kerana ia menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar seperti yang telah difatwakan.
“Saya telah meminta pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk mengambil tindakan dengan pendekatan yang bersesuaian dalam perkara ini.
“Saya juga memohon kerjasama Jabatan Agama Islam negeri memantau dan memberi perhatian terhadap isu ini secara berkesan dan wajar dan mengambil tindakan berdasarkan undang-undang sedia ada sekiranya bersesuaian,” katanya.
Selain itu, kata beliau, Jakim dan Jawi juga berhasrat menjemput Kassim bagi memberi penjelasan terbaik terhadap pelbagai dakwaan beliau yang dianggap boleh menjejaskan akidah umat Islam. - mynewshub.my